Malam tadi, kepala berdenyut-denyut minta direhatkan setelah lebih daripada 24 jam dipaksa berkerja keras di lab. Pusing ke kanan, ke kiri, merengkok, meniarap-kepala masih berdenyut-denyut. Saya hanyut akhirnya. Tiba-tiba, satu seruan membisik ke telinga (barangkali jiwa), "Faiz, Nur Fatimah!". Lantas, saya menaip seringkasnya kepada KDija agar terus berusaha, bersabar dan redha atas ujian peningkatan iman ini.
Pagi tadi, sebaik mencelikkan mata, berita ini menyapa saya
"Salam. Putri kami, nur fatimah tlh kembali ke rahmatullah kira2 pkl 6.20pg td - ramadhan fitri & khadijah"
Innalillahi wa inna ilaihi raaji’un
~I'm speechless~
Warga Anjung Zahra' berduka. Seorang pun tidak dapat meloloskan diri daripada kerja. Setelah berusaha menghubungi beberapa sahabat lain, akhirnya saya mewakilkan diri menyampaikan salam takziah teman-teman AZ malah alumni AZ kepada KDija.
Semasa tiba di Masjid UPM, jenazah telah siap dimandi dan dikafan. Kami usap perlahan-lahan ubun Fatimah. Aduhai Fatimah, tenang wajahmu menghadapnya. Suci bersih dari dosa. Kami dakap KDija, erat. KDija, matanya merah berkaca namun setenang arus kali. Lelah namun tenang redha menerima takdirnya.
Dia bukan pergi meninggalkan kita semua, tapi sedang menunggu mama dan baba tercinta di syurga sana.
Yassin dibaca buat sedekah. KDija tenang diapit emak dan adik ipar.
Sebab kematian: Hypoxic Brain Damage
Rata-rata ibu-ibu muda (kenalan saya) menzahirkan rasa kerisauan meninggalkan bayi masing-masing di pusat nurseri. Jawapan KDija cukup menenangkan.
“ Hantar nurseri ke, pengasuh ke, atau dalam jagaan sendiri, musibah boleh berlaku di mana-mana. Yang penting kena tawakkal. Yang jaga dia adalah Allah..”
Sukarnya meluah perasaan sedih waima melalui tulisan. Kini, saya buntu kata-kata. Sahabat-sahabat lain masing-masing menukilkan kisah cahaya cinta yang telah pergi ini di laman masing-masing. Ustaz Hasrizal, Ustaz Nazri, KBah, KTipah, KMas, KHairin, Mas dan ramai lagi.
Ini qada' dan qadarnya. Tenanglah Nur Fatimah di sana.
Takziah buat kakak sayang Khadijah Ismail & Ustaz Ramadhan Fitri Elias.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Makhluk bagi komen