1432H. Berani hilang tak hilang, berani mati tak mati.

Bismillahirrahmanirrahim 

Tahun baru Hijrah berganti lagi. Sudah 1432 angkanya. Sudah satu ribu empat ratus tiga puluh dua tahun sejak hijrah baginda Muhammad SAW dan sahabat-sahabat Baginda daripada Mekah ke Madinah. Baginda SAW berani keluar daripada zon selesa. 



ZON SELESA INCOGNITO

Menyemak hidup sendiri, 1431H bukan zon selesa buat diri. Tapi zon persembunyian diri daripada menghadapi cabaran hidup. Zon berdolak-dalih menyelesaikan sarjana. Zon melagukan impian yang bunyinya canggung dan pincang. Zon penyamaran dan hilang.

Kata Sang Bijaksana,

Orang yang tidak memiliki, tidak dapat memberi.

Benarlah. Saya hilang sesuatu. Kekuatan dalam diri seperti dulu. Kecekalan yang dulu. Sukar sekali mahu meluahkan pemikiran sendiri. Buntu setiap kali mahu menaip aksara-aksara magik bernama tesis.

CARIGALI

Sebuah riwayat yang lemah sanad tetapi benar daripada sudut matan ada menyebut,

"Kata-kata hikmah adalah barangan orang mukmin yang hilang, maka di mana jua dia menemuinya, dialah yang lebih berhak terhadapnya"

Setiap kali Encik Lappy menyapa salam, nota kecil di sudut kanan kertas dinding Encik Lappy berbisik,

"Impian yang tidak disertai dengan usaha yang bersungguh adalah binaan di alam khayalan dan kebahagiaan sementara yang pada hakikatnya adalah kesengsaraan yang pahit dan mimpi. Setelah tersedar, ia hanyalah sesuatu yang penuh dengan duri."

Kata-kata hikmah ini saya kutip lewat pembacaan Bunda Maryam ke atas karya Yaman Siba'ii bertajuk Begini Kehidupan Mengajarku. Bunda Maryam merupakan sahabat yang keras tekadnya, sedang melanjutkan pelajaran peringkat Sarjana dalam Bahasa Arab di Gombak. Sikapnya terhadap pelajaran benar-benar saya kagumi.

Dia seolah-olah menghadam kata-kata Yaman Siba'ii berbunyi,

Jangan biarkan putus asa menguasai dirimu. Lihatlah kepada matahari yang terbit saban pagi untuk mengajar manusia sesuatu yang Allah ingin kita mempelajarinya. Sesungguhnya matahari tidak akan terbenam melainkan akan terbit semula setiap pagi yang baru.   
Asa tidak boleh dibiarkan sama sekali mengenali ungkapan putus. Langkah mesti terus ke hadapan.
Hiduplah dalam kenyataan. Tidak salah berimaginasi; malah perlu kadang-kadang untuk kemajuan diri dan yang lain. Tapi kita balik pada keadaan diri sekarang; apa yang perlu sekarang; apa yang ada sekarang untuk hasilkan imaginasi jadi kenyataan suatu hari.
Begitu ungkapan teman yang saya rindui; Cikgu Maza di laman Jalan Itu Jauh (welcome back honey!) Teman yang diamnya berisi. (She teachs me; I have no reason instead of I don't have any reason)

BERANI UNTUK JADI PENAKUT @ TAKUT UNTUK JADI BERANI?

Sekian hari mengutip setiap kata-kata hikmah yang berlegar di persekitaran yang terbatas. Terbatas. Ya. Berlegar di muka empat segi. Makmal Tingkat 7, bilik tidur ruang menaip , rumah sewa Anjung Zahra', majalah, kotak televisyen dan Encik Lappy

Sedang, dunia di sebalik pintu lebih menjanjikan pelajaran-pelajaran hidup. 

"Dengan ketakutan hari esok, bagaimana kamu akan hidup hari ini? Dengan kata lain, bagaimana mahu berani menghadapi hidup hari ini, jika kamu takut menghadapi hari esok?"
Sinis kata-kata Rancho kepada sahabatnya Raju yang lemas dalam tekanan hidup. 3 orang tolol (3 Idiots, 2009) setelah ditapis buang adegan-adegan tolol, masih sarat dengan pelajaran hidup. 
Hati ini mudah merasa takut. Kamu perlu 'menipunya'. Betapa besar masalah yang menimpa, bisik kepada hati "Segalanya baik". Itu menyelesaikan masalah? Tidak. Tapi kamu mendapat keberanian untuk menghadapinya.
Bukan. Bukan soal takut. Ini soal berani. Berani untuk bertahan dengan tekanan.

Ada misi yang belum selesai.

Berani untuk hari ini dan esok yang belum pasti!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Makhluk bagi komen