Bagai Geluk Tinggal di Air; Menadah Segeluk Budi

 Merpati merehatkan diri di masjid tua, Kota Lama Mesir. Syukran Anik

Bismillahirramanirrahim

Pagi ini mahu bercerita panjang. Pernah dengar bidalan ini? Bagai geluk tinggal di air (sila klik untuk mengetahui maksud di sebaliknya)

Tapi tidaklah diri ini orang yang melarat. Cuma dalam situasi tertentu, hati kecil akan membisik doa kepada Ilahi agar didatangkan pertolongan melalui tangan-tangan manusia walaupun tidak saling mengenali.

Ceritanya begini (terasa seperti seorang penglipur lara =)


Seantero alam sudah mengetahui bahawa Encik Kris sudah lanjut usia (yelah sangat). Minggu lepas, saya pulang berehat di rumah sewa seorang teman semakmal setelah semalaman di makmal tingkat 7. Hajatnya, mahu lelap sejam dua sebelum bersiap ke Damansara Perdana; lokasi saya mencari sesuap nasi (mengajar tuisyen sahaja tuan-puan). 

Geluk 1
Hujan lebat diikuti angin, ribut, petir segala. Langit Cheras hitam seperti senja. Tunduk kepada alam, saya batalkan sahaja kelas. Kebiasaannya, jika hujan tanpa ribut petir saya redah sahaja. Selesai maghrib, baru terkial-kial mencari jalan pulang. Pun dalam keadaan serba-salah.
"Tak berbaloinya balik rumah. Dah alang-alang di sini, kenapa tak ke makmal lagi? Baju pun ada sepersalinan lagi. Mana lagi baik ya?"
Rupa-rupanya, perancangan DIA Maha Hebat.

Bismillah. Sekali hentak, dua kali dan seterusnya. Encik Kris terus diam. Starter pun tak memberi kerjasama. Waduh. Bagaimana? Hampir setengah jam mengeluarkan peluh, saya jeda.
"Nampaknya Allah sudah memberi jawapan"
Jam sudah menunjukkan pukul 10 malam. Bukan masa yang mudah untuk mendapatkan khidmat teksi. Perlahan-lahan menapak ke jalan besar, hati saya membisik lagi.
"Ya Allah. Permudahkanku."
Alhamdulillah, sebaik sampai ke jalan besar sebuah teksi berhenti di tepi jalan. Rezeki.

Allah Maha Mendengar tiap bait doa hamba-hambaNya. Jika tidak sekarang dimakbulkan, kemudian hari lebih baik jawapan. Atau terus ditukar-ganti dengan yang lebih baik.

Geluk 2
Hari ke-2. Setelah bersarapan di pusat perubatan dan sembang pagi (Aish, tersangat lama tidak begini. Menghirup udara pagi di luar), kami menaiki teksi ke Bandar Tun Razak dengan harapan satu-satunya bengkel motor di deretan kedai tersebut telah memulakan operasi. 

Hampa. 8.30 pagi dan ia belum dibuka. Menapak ke pasar pagi, menemani teman membeli barang dapur. Juga cuci mata melihat wajah-wajah dimamah usia tapi masih tetap manis roman muka yang menyapa khabar sesama mereka (Saya suka melihat wajah warga emas. Ada tenang di situ).

Sampai ke rumah, dengan berselawat saya cuba lagi menghidupkan enjin.

Diam. Tetap diam.
"Ni kalau tak sebab plug, mesti karburator masuk air. Aduhai..."
Hati membisik lagi.
"Rabbi yassir wala tua'ssir"
Makcik tua (kemudiannya mesra dengan panggilan Makcik Nik) tanpa tangguh menawarkan bantuan. Sama-sama ton-ton Encik Kris ke bengkel di Taman Mulia. Tenaga tak cukup. Termengah-mengah kerana kedua-duanya adalah versi 'kenderaan berat'; Kris. Muncul pula Makcik Zah menawarkan bantuan menjaga motor sementara kami berdua memanggil pomen ke rumah. Tak cukup dengan itu, Makcik Nik memanggil anaknya, Abang Lan untuk membantu.

Pomen tidak dapat datang. Motor-motor senasib dengan Encik Kris berderet menyerah diri. Plug sudah ditukar. Pakcik Karim (suami Makcik Nik) turun padang menolak Encik Kris. Akhirnya, Abang Lan menolak/ton-ton Encik Kris daripada belakang.

Rupa-rupanya, kawasan Bandar Tun Razak ni bengkel motor di rumah. Patutlah tak jumpa! Semacam di kampung pula. Kata pomen, masalah karburator. 

Pulang ke rumah, tidak sampai hati mahu terus masuk ke dalam sedangkan makcik-makcik ni sedang bergebang di luar. Takkan  cukup ucapan terima kasih sahaja. Mata sudah layu, bintang-bintang pun dah nampak. Tapi, saya luangkan 1 jam untuk berbual-bual dengan mereka. Tak kenal maka tak cinta, bukan?

Pesan Makcik Nik,
"Kami ni tak kisah nak tolong sesiapa pun. Kalau ada masalah, cakaplah. Kalau tak cakap, mana kami nak tau"

Adeh, terkena di situ.
Terima kasih kalian.

Geluk 3
Petang tersebut, menapak ke bengkel berkenaan. Not $28 bertukar tangan. Kata pomen, cubalah sedaya mungkin untuk mengelak karburator dimasuki air. Paling tidak, tegakkan motor dengan menggunakan 2 tongkat berbanding 1 sahaja.

Terus sahaja memecut ke Damansara Perdana. Ada dua sesi tuisyen menunggu. Di tengah perjalanan baru teringat perihal minyak. (Meter minyak sudah lama rosak) Masalah lagi. Mulut terkumat-kamit membaca doa. Mudah-mudahan kalau kehabisan sekalipun, biarlah bukan di situ; Lebuhraya Sprint. Paling tidak di Seksyen 16. Ada stesen minyak di situ.

Allah mahu mendidik hati ini lagi. Saya terkandas di Lebuhraya Sprint. Tiada kaki jalan di situ. Kenderaan bergerak laju daripada belakang. Motor ditolak dengan laju. Naik bukit turun bukit, mencari kaki jalan agar lebih selamat. Selawat tidak putus daripada mulut sambil tangan melambai memohon bantuan daripada penunggang motorsikal yang jarang-jarang melalui kawasan tersebut. 

10 minit berlalu. Tiada yang mahu memperlahankan motor apatah lagi berhenti! Ini pertama kali dalam hidup saya menahan sesiapa sahaja di tepi jalan sebegini. Peristiwa menolak motor ke bengkel dan stesen minyak agak sebati dalam hidup. Susah benar mengangkat tangan mohon bantuan. Mahu berdikari atau ego?
"Tak payahlah tahan. Tolak ajelah."
 Sejurus, seorang pakcik pertengahan tahun berhenti di hadapan. Perlahan dia mengundur dan bertanya,
"Rosak ke?"
"Minyak habis. Pakcik boleh tolong? Ton-ton ke stesen minyak. Paling dekat kat Seksyen 16 sana" mengharap.
"Boleh. Anak ke depan"
 Perlahan-lahan dan hati-hati pakcik menolak Encik Kris ke sana. Alhamdulillah...

Tak putus saya mengucapkan terima kasih. Ada doa yang saya bisikkan untuk dia.

Geluk kekal hingga mati
Allah mendidik hati keras ini dengan menundukkan ia sehingga tidak putus mengharap.

Saya orang yang susah untuk meminta pertolongan sehingga hari-hari tersebut. Saya suka memberi, tetapi sukar meminta. Ada rasa indah dan bahagia menerima budi daripada orang yang langsung tidak mengenali kita malah tidak mengharap apa-apa. Tambah pula, kebelakangan ini saya tercari-cari apa erti bahagia dalam hidup saya sekarang ini.
"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan, dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya)." (surah al-Maidah, ayat 2)
Barangsiapa yang berusaha untuk memenuhi hajat saudaranya, maka Allah akan membantu dan mempermudahkan hajatnya.” (hadis riwayat Muslim) 
* Lewat petang, sekali lagi Encik Kris di bengkel. Kali ini kerana menukar bateri dan 'suis lampu dan hon'. Kedua-duanya sudah arwah.

* Baiki karburator = RM 28
   Tukar bateri       = RM 55
   Tukar suis          = RM 45
   Terima budi     = HUTANG SAMPAI MATI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Makhluk bagi komen