Program Angkasa di Banting

Sambutan Ulangtahun ke-2 Program Angkasawan Negara
3-5 Oktober 2009
Pusat Sains Angkasa, Banting

Aktiviti utama: Pelancaran Yayasan Angkasawan, pameran angkasa, ramah-mesra bersama Angkasawan Ke-2; Mejar Dr. Faiz Khaleed, belon panas, peraduan mewarna dan pertandingan futsal team angkasawan melawan team2 setempat.

Datuk Dr. Maximus Ongkili, Menteri MOSTI 'mengintai' cacing-cacingku.

Susah payah menyiapkan poster di dalam bahasa Melayu dengan menggunakan istilah paling asas dan 'sesat' ketika menuju ke Banting terasa lenyap. Diganti dengan keseronokan memberi secebis gambaran dan ilmu (kalau dapat dikatakan sebagai ilmu) tentang kajian angkasa yang kami jalankan kepada masyarakat desa.
Meter menunjukkan 83km saat tiba di pusat tersebut. Untung saja kami menyewa Kancil Auto. Walaupun, tangan saya terasa sedikit penat menahan stereng yang asyik menggigil di sepanjang perjalanan.

"Assalamualaikum Encik. Kami jaga booth pameran di sini"

"Oh ya? Sila-sila masuk ke dalam"

Poster kami berempat tergantung 'comel' walaupun kerdil disamping poster-poster gergasi daripada agensi lain termasuklah BIOTEK yang mengundang kami untuk memaparkan hasil kajian yang kami jalankan.

Fidzie dan Rajie berkongsi poster di bawah projek yang sama. Yang membezakan cuma spesimen sahaja. Kajian yang dijalankan adalah fokus terhadap perubahan profil gen di dalam sel Jurkat (Leukimia); Fidzie dan sel HepG2(Hati); Rajie apabila terdedah terhadap angkasa lepas.

Shiela pula mencurahkan hasil kajiannya di poster berasingan dengan tajuk yang sama tetapi spesimen digunakan ialah mikroorganisma Enterboacter Cloacae; iaitu bakteria gastrousus. Sementara saya pula setia dengan kajian ke atas keadaan angkasa lepas terhadap perubahan profil gen di dalam cacing Caenorhabditis elegans. Rujuk bacaan asas versi bahasa Melayu dan English.

Kesemua spesimen (kecuali cacing) telah dibawa oleh Angkasawan Negara; Dr. Sheikh Muszafar Shukor ke angkasa lepas (Pusat Angkasa Lepas Antarabangsa) pada Oktober 2007. Sementara itu cacing (kesayangan saya) telah dibawa ke angkasa lepas oleh angkasawan Amerika Syarikat pada Disember 2006 lagi.

Precious momento kanak-kanak kecil Banting yang berjiwa besar

Memikirkan soal majoriti pelawat ialah masarakat luar bandar, selain daripada menyediakan poster yang agak umum dan mudah difahami kami turut menyediakan kuiz bertulis untuk memastikan pelawat membaca poster tersebut. Peralatan ringkas yang digunakan semasa di angkasa lepas turut dipamerkan. Malah, untuk menarik minat kanak-kanak kami bawa C.elegans ke tapak pameran. Seperti jangkaan saya, cacing-cacing akan mati dek kepanasan (I'm so sorry my dear). Mujurlah di bawa bersama ialah kotak ais untuk mengurangkan risiko tersebut.

Anak-anak kecil berkerumun, berebut-rebut mahu melihat cacing.

"Jangan berebut-rebut. Bagi kawan yang kecil ni dulu. Naik atas kerusi dik"
.....
"Nampak tak?"

"Nampak"

"Nampak apa?"

"Cacing. Ei, jijik" (what, cacing yg comel lote ni boleh korang cakap jijik?aihh...)

"Apa nama cacing ni?" sambil menunjukkan tulisan senget di atas kertas kuning.

"aelaegansss"

"Sebut semula. 'C' ae lie gens"

.."OK. Next"

Soalan-soalan yang diajukan masih berentak sama seperti yang pernah diajukan kepada saya sebelumnya. Cuma, jawapan yang perlu diberikan harus diterangkan secara umum tanpa memeningkan kepala ketua keluarga dan suri rumahtangga apatahlagi kanak-kanak desa.

Begitulah berakhirnya 3 hari yang cukup memenatkan tapi sangat bererti bagi kami berempat daripada projek kajian hayat angkasa lepas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Makhluk bagi komen