Cahaya Ilahi di pinggiran Sungai Lipis

Lihat gambar: anak kecil ini mengangkat 5kg beras dengan gagahnya(Credit to Muhammad Bin Kamarulazizi for this picture)

11-13 Julai 2008

Tanggal tarikh itu, mata hati saya menyaksikan jauh ke hulu Sungai Lipis ada hati-hati yang lapang dengan hidayah-Nya, dahagakan ilmuNya. Kampung Harong-perkampungan Orang Asli berketurunan Semai seramai lebih kurang 200 orang jumlahnya, menyambut kedatangan kami dengan sinar mata yang bercahaya.

Ada harapan dalam lirikan mata mereka. Ada percikan gembira dalam sinar mata anak-anak kecil, senyuman bahagia di bibir warganya.

Seawal 3.30 pagi, kami (sukarelawan PERKIM (ASDAF), TM, HUKM dll.) menjejakkan kaki ke Masjid Sungai Koyan, Lipis, Pahang-berniat menumpang lelap sebentar sementara menunggu mentari Sabtu menyinar di bumi Lipis. Tika burung mula keluar berterbangan mencari rezeki, kami mengalas perut bersarapan pagi di warung yang terletak di seberang jalan masjid.(Sebetulnya ada peristiwa yang menyebabkan saya terkilan, mengurangkan sebentar rasa kesungguhan berbakti di perkampungan Orang Asli nanti-Baca di SINI kisahnya)

Tiba di jeti Kuala Medang, sesi pemunggahan barang dilakukan dengan melakukan rantaian manusia, tika ini kerjasama di antara ahli rombongan terserlah. 4 - 5 orang menaiki satu bot. Dengan kalimat Bismillah, perjalanan mengharung Sungai Perahu dilakukan. Perjalanan lebih 2 jam menempuh pemandangan yang...Subhanallah, maha cantik ciptaanNya.

Menghampiri jeti Kampung Harong, Pos Lanai, Tok Batin dan anak-anak kecil sudah sedia menunggu dengan ria. Turun daripada bot, anak-anak kecil dengan pantas mengangkat barang-barang ke dalam surau.


Agenda pertama, bergotong-royong memasak. Kaum ibu, sedikit demi sedikit turun membantu dengan senyum malu-malu. Peserta wanita mula memainkan peranan mendekati mereka. Tangan sibuk memotong bawang dan kubis diseri dengan berbual-bual, bertanyakan nama, menggosok kepala anak-anak kecil yang bersembunyi di belakang ibu masing-masing. Menu tengahari cukup istimewa untuk mereka; ayam masak kicap berempah dan sayur kobis masak lemak serta sambal belacan bacang dan teh susu, urhhmmm... Alhamdulillah. Kredit kepada Pak Mat-chef kita. Seperkara yang menyentuh perkara saya, betapa mereka menghargai nikmat meminum teh susu seolah-olah itu minuman paling sedap di dunia. Tapi, itu hakikatnya-peluang meminum teh bersusu sangat jarang dinikmati mereka.

Sedang mentari masih dirasakan terik (sekitar jam 4 petang), seluruh kampung berkumpul di tengah-tengah laman yang menempatkan gelanggang takraw. Acara sukaneka diadakan dan seluruh peringkat umur warga Harong mengambil bahagian (ermm..kecuali warga yang tersangat tua dan tersangat muda-bayi).



Sementara mereka bergembira mengambil bahagian di dalam pelbagai acara, saya dan Mas melawat ibu muda yang baru sahaja semalam melahirkan bayi pertama. SubhanALLAH, bayi ini lahir suci sekeping kain putih. Maka, ibubapanyalah menentukan coraknya. Alhamdulillah, saya yakin hidayah Islam akan terpancar di hati anak kecil ini.

Sementelah rombongan ini turut disertai oleh enam doktor to be, semasa di sungai bersama anak-anak kecil pun diambil peluang oleh mereka untuk menggalakkan anak-anak kecil ini menjaga kebersihan; menggosok gigi, mandi bersabun dan memakai alas kaki (komitednya mereka, tahniah!)

Menjelang petang, kami bergotong-royong menyediakan gulai daging dan pucuk paku goreng (pucuk paku ini hanya untuk ahli rombongan, penduduk Harong sudah 'jemu' (baca: ia makanan rutin mereka). Sudah tentu tidak lengkap tanpa Teh Susu. Hmm...saya dengan rela hati (baca: suka sebenarnya) membuka kesemua dua belas tin susu pekat. Praktik ilmu...saya selalu memerhatikan mamak2 membuka tin susu dengan penuh minat, sekali hentak dan pusing!

Sementara itu, surau dihidupkan dengan solat maghrib dan isya' berjemaah dan diisi dengan tazkirah (baca: bincang-bincang). Mudah-mudahan, apa yang dibincangkan sedikit sebanyak memberi input kepada mereka.

Sebagaimana tengahari, mereka menikmati makan malam dengan penuh berselera. Aduhai, alangkah kalau manusia-manusia di kota melihat mereka...pasti tiada istilah membazir agaknya...Oh jangan lupa setengah jam berikutnya, minum malam pula-bubur kacang terhidang. "Macam ni la sedap..baguih baguih.."-tak lekang dari mulut mereka.

Sebagaimana dipesan kepada penduduk wanita pada sebelah petang, sekumpulan kecil dariapda mereka hadir di surau selepas minum malam-kali ini untuk merapatkan rasa hati, berkongsi masalah dan mendengar luahan hati mereka. Wajah-wajah malu masih kelihatan di muka mereka (memang alami mereka begitu; pemalu kepada orang luar-sudah tentu).

Dingin Subuh 13 Julai 2008 menyusuk tulang para sukarelawan; menggigil kesejukan. Solat Subuh didirikan berjemaah bersama beberapa penduduk yang turut serta. Usai solat, jemaah wanita membentuk bulatan-sesi tazkirah dikendalikan oleh sal seorang Dr. to be. Soalan-soalan asas dijawab oleh kami secara bergilir-gilir diselangseli dengan soalan-soalan untuk mereka (wanita Harong).Oh ya...sudah tentu soalan-soalan kepada kami hanyalah 'umpan' agar kakak/makcik Harong tidak merasa 'tertinggal'. Rupa-rupanya, untuk menurunkan tahap penyampaian dan pemahaman kita ke tahap paling asas tidak semudah disangka. Alhamdulillah, mereka tahu perkara-perkara asas-maka sesi ini boleh jadi satu sesi peringatan dan penghayatan.

Belum selesai dengan golongan dewasa ini, beberapa kanak-kanak menyertai perbincangan kami. Memandangkan ibu-ibu muda mula beransur pulang, maka perhatian seterusnya terarah kepada kanak-kanak pula. Secara psikologi, kanak-kanak mudah menerima input dalam bentuk hiburan-lagu. Bermula daripada 6 orang, kemudian semakin bertambah-gara-gara lagu-lagu yang dinyanyikan beramai-ramai; lagu Puji-pujian-Raihan, Rasulullah, Kalau Rasa Gembira malah lagu sekolah mereka! Beberapa kali menyanyikan lagu Puji-pujian, mereka dapat menghafal liriknya...

Ash hadu anla ilaha Illallah,
wa ash hadu anna Muhammadar Rasulullah
Tiada Tuhan selain Allah
Nabi Muhammad pesuruh Allah

Alhamdulillah pujian bagi Allah
Subhanallah Maha Suci Allah
Allahuakbar Allah Maha Besar
Segala puji hanya bagi Allah

Moga-moga lirik lagu tersebut menyerap dalam jiwa suci mereka.

Setelah bersarapan pagi; bihun goreng, penyampaian hadiah untuk pemenang sukaneka diadakan dan gula-gula coklat diagihkan. Pendek kata, seluruh kampung mendapat bahagian masing-masing. Belum cukup dengan itu, teka jawapan matematik pun direka untuk merangsang kanak-kanak untuk berani ke hadapan. (Suasananya, ibarat Santa Claus dikerumuni kanak-kanak-ibarat je...)

Sementara kanak-kanak ghairah menjawab soalan 'Santa Claus', ibubapa beratur menerima bantuan ubat-ubatan asas-panadol, ubat batuk (terkawal yer) dan sudah tentu ubat cacing (menurut perhatian penulis, majoriti kanak-kanak lelaki terutamanya berperut buncit tanda kecacingan).

Setelah itu, di bahagian belakang surau pula, golongan dewasa (terutamanya) diminta beratur mengikut jantina untuk pengagihan pakaian hasil derma orang ramai. Uish..."so excited' dapat pakaian baru!...Namun terdapat pemuda yang bersungguh-sungguh menolak pemberian baju kemeja daripada saya. Alasannya?..."Tak mahu itu, banyak butang...Nanti dikata orang, saya orang besar, banyak duit!"...pulak!

Selesai semuanya, para peserta mengemaskan barang, mana-mana barang kering yang berlebihan diberi kepada para ibu. Kami sukarelawati pula mengambil peluang singkat mengadakan lawatan ke rumah-rumah terpilih- menziarah bayi-bayi dan ibunya. Berpecah kepada 3 kumpulan kecil, saya ke rumah bayi kedua. Bayi tersebut, Alhamdulillah sihat..disambut sendiri oleh neneknya; seorang bidan. Yang manisnya, si nenek meminta kami mencadangkan nama untuk bayi tersebut. Setelah itu dan ini, maka kami sepakat memberikannya nama MUJAHID. Moga bayi ini akan menjadi pemuda yang teguh memperjuangkan iman golongan peribumi sebagaimana namanya...Ameen.

Selesai bersalaman, kami bergegas menuju jeti. Kepulangan kami dilambai ria oleh mereka. Agenda terakhir ialah singgah di Kamung Nyentil, walau sebentar cuma. Bersalaman, mengusap kepala anak-anak polos, dan juga bergambar kenangan semestinya. Arh..kalau saja coklat yang saya bawa mencukupi untuk mereka, nescaya saya agihkan. Namun, memandangkan hanya beberapa batang Choki sahaja bersisa-batalkan saja.

Perjalanan pulang dirasakan singkat sekali, meninggalkan dunia peribumi alam jauh di belakang. Jauh di sudut hati, saya benar-benar berharap akan ada di kalangan anak-anak ini (terutamanya di ASDAF) melangkah jauh ke hadapan, menjadi orang berilmu yang akan membawa masa depan yang lebih cerah kepada mereka.

Saya akan menulis dan meng'upload' gambar sedikit demi sedikit sehingga tulisan ini merakam penuh pengalaman saya di sana, InsyaALLAH...

2 ulasan:

  1. sungguh seronok membaca tulisan anda. aku akan kesana juga minggu depan pada 22 may. doakan keselamtan kami n isyaAllah aku juga akan pasti belajar sesuatu darinya. aku akan rakamkan gambaran hidup mereka kepada yg lain pula.

    salam perkenalan.

    http://azimzainudin.blogspot.com

    BalasPadam
  2. azim,
    moga dpt mlihat jalur cahaya di sana. soal iman bukan soal lokaliti tapi soal jati diri.

    saya doakan selamat perjalanan. tolong boleh? snap byk2 gbr naik bot. missed that!

    BalasPadam

Makhluk bagi komen