Panggilan telefon daripada Along di Gambang membawa khabar mendung di Kota Bharu. Tok Ayah yang kami kasihi baru sahaja menyambut panggilan Ilahi dalam renyai hujan pembuka Tengkujuh jam 6.00 petang, 28 Disember 2008.
Kesemua penjaga kaunter tiket Putra menggelengkan kepala setiap kali aku ajukan tentang tiket ke Kota Bharu. Dengan izin Ilahi, aku pulang ke Kuala Terengganu dan seterusnya menyertai ibu dan adik-adik, serta keluarga Ayah Long dan Ayah Ngah berkonvoi ke Kota Bharu. Jalan utama daripada Kuala Berang-Sg. Tong telah ditutup, kata Adah lewat 'sms'nya. Perjalanan kami melalui jalan pantai meredah hujan renyai-renyai yang tidak henti-henti, isyarat Tengkujuh menyapa Pantai Timur. Ombak-ombak besar ganas menghempas pantai di sepanjang perjalanan.
10.50 pagi, Along memberitahu-jenazah Tok Ayah sudah selamat disembahyangkan dan sedang dalam perjalanan akhir ke perkuburan Kg. Gaung. Tiada wajah-wajah terkilan saat kami sampai ke kediaman Tok Ayah. Mak (nenek) bermuka tenang seadanya. Sedang adik-beradik ibu yang lain berbual-bual melayan tamu yang berziarah. Mek (kakak sulung ibu aka pengganti emak ibu) bercerita tentang saat-saat akhir seorang Tok Ayah. Perginya dalam senyum dan aman.
SubhanALLAH..pujian hanya milikMu yang merencana takdir kami sebaiknya. Minggu lepas, setelah majlis sambut menantu di Alur Lintah, Besut kami sekeluarga pulang menemui Tok Ayah sekeluarga.
Antara lain Tok Ayah mengajukan kepada Ibu "Jadi ko nok panggil ore buat majlis doa selamat ni?" Pantas Ibu menjawab "InsyaALLAH"...Aku dan Anik diminta olehnya untuk dipapah ke ruang tamu-mahu berjumpa anak-beranak, kawan-kawan katanya. Mata suram Tok Ayah bercahaya melihat legasinya berkumpul dan menerima kehadiran kawan-kawan yang sama-sama mengimarah surau.
Ingin sekali aku mengambil iktibar daripada istiqamahnya Tok Ayah menjaga solat walau dalam derita sakit. Bersusah-payah menjaga kesucian diri daripada najis setiap kali mendirikan solat (dalam keadaan duduk membongkok). Serta bermanis muka walau menderita menerima ujianNya.
Al-Fatihah buat Tok Ayah...kiranya mungkin, biarlah legasi tinggalan Tok Ayah berpaut teguh di tali-temali Ilahi Ameen.
al-fatihah semoga rohnya dicucuri rahmat
BalasPadam