Ramadhan yang dirindui, hatiku telah terbang ke sana

Tiga hari lagi Ramadhan yang dirindui akan tiba

Aku melalui minggu terakhir Ogos dengan tekanan yang berat. Alhamdulillah satu demi satu perkara telah melepasi standard yang aku letakkan sendiri. Bermula dengan slaid pembentangan untuk bengkel mikrograviti 2-3 September ini diikuti slaid first draft-manuscript (outline) untuk Bengkel Penulisan Saintifik 27-28 Ogos yang lalu. Kedua-dua slaid ini memaksaku sehingga dua hari tidak berkesempatan pulang ke rumah sewa. Aku kiranya sentiasa bersedia dengan hal-hal yang sedemikian mempunyai barang2 persalinan lengkap di sini.

Minggu ini juga membawa khabar kurang enak daripada desa. Kesihatan bapa semakin merosot. Ah, penyakit orang kita. Lemah jantung, paru-paru berair, kencing manis bersatu dalam pakej. Hari ini, bapa di wad menerima bantuan oksigen dan ubat pencair darah (mungkin aspirin). Hati meronta-ronta ingin segera kembali ke perkampungan. Alahai hati, banyakkan bersabar dan berdoa. Kesempatan yang sempit aku raih untuk banyakkan membaca perihal menangani lemah jantung. Juga sudah berkira-kira mahu membeli madu dan mp3 buat bapa. Madu untuk menggantikan gula dan pastinya ayatayat Quran mp3 buat menenangkan jiwanya. Sabtu, cepatlah kunjung dan berakhir.

Hatiku telah pulang, tinggal jasad kelemasan. Moga Ramadhan yang bakal menyapa membawa kekuatan buat kami sekeluarga. Ramadhan, pantaslah dakap aku dalam peluk malammu.

1 ulasan:

  1. Faiz..kuatkan semgt...aja,aja..fighting..!! kami insyaAllah akn stiasa bersama faiz slagi diizinkan Allah..
    :)

    BalasPadam

Makhluk bagi komen